Kalimah 'Cinta' sudah tidak asing lagi di telinga kita.Apatah lagi di kalangan remaja kerana sudah menjadi tanggapan umum bahawa cinta bermaksud ungkapan rasa sepasang merpati dua sejoli yang mabuk dilanda asmara.Bila menyebut cinta, sering kali terbayang di kepala kita pasangan-pasangan kekasih sehidup semati seperti 'Romeo and Juliet', 'Laila dan Majnun', "Uda dan Dara", dan sebagainya.Jalaludin Ar-Rumi menggambarkan akan kerana indah dan asyiknya cinta itu, sehingga syaitan pun dianggap bidadari.Yang pasti,sudah ramai orang yang berbahagia kerana cinta,namun tidak kurang juga yang menderita kerana penangan cinta.Cinta dapat membuatkan seseorang itu menjadi mulia, dan cinta juga mampu membuatkan seseorang itu menjadi hina.
Melihat kepada sirah Rasulullah bagaimana Siti Khadijah ra.ha mendapat kemuliaan kerana berkorban apa saja untuk membantu perjuangan sang kekasih yang sangat dicintainya iaitu Rasulullah s.a.w.Banyak lagi kisah-kisah cinta zaman nabi yang boleh kita jadikan contoh teladan dalam memaknai erti Cinta seperti kisah cinta "Zulaikha dan Nabi Yusuf", "Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis", "Nabi Ibrahim dan Siti Hajar" dan lain-lain.Semuanya berkisar tentang Cinta dan pengorbanan kerana Allah swt. Sebaliknya di zaman kita ini, ada di antara gadis-gadis sanggup menjadi hina dengan menyerahkan maruah mereka kepada orang yang mereka cintai.Adakah itu dinamakan cinta atau nafsu semata? Dan terlebih hina lagi hingga sanggup "mencabut nyawa sendiri" lantaran gagal dalam bercinta.Cinta yang sedemikian inilah yang membuatkan seseorang itu hina di dunia dan di akhirat.Nauzubillahhi min zalik...
"CINTA" dari segi bahasa bermaksud kecenderungan.Berpandukan kepada maksud ini "CINTA" bolehlah didefinisikan sebagai "kecenderungan yang kuat terhadap sesuatu yang disayangi sehingga membuatkan dia sentiasa membayanginya, menyebut namanya, rela berkorban deminya, menerima sepenuh hati segala yang ada pada insan yang dicintainya itu walaupun terdapat kekurangan padanya dan meluahkan semuanya melalui ungkapan kata-kata dan perbuatan".
Pandangan Islam Terhadap Cinta
Cinta menurut pandangan Islam adalah suatu perkara yang dibenarkan.Islam adalah agama fitrah dan cinta itu adalah fitrah manusia.Islam tidak melarang seseorang untuk mencintai dan dicintai.Rasulullah menggalakkan kita mengucapkan cinta itu.
"Apabila seseorang itu mencintai saudaranya hendaklah ia memberitahu bahawa dia mencintainya" (HR Abu Daud dan Tarmidzi)
Seorang muslim dan muslimah tidak dilarang untuk saling mencintai malah adalah sangat digalakkan kerana terdapat beberapa kelebihan melaluinya.Islam tidak menghalang cinta dan telah disediakan saluran yang halal(iaitu bernikah) di mana sepasang manusia itu bebas bercinta.
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya,Dia menciptakan untukmu pasangan-pasangan dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikanNya di antaramu rasa cinta dan kasih sayang." (Surah Ar-Rum:21)
No comments:
Post a Comment